Perubahan Iklim Dan Penyakit Bawaan Nyamuk Di Malaysia | UPM Press
» ARTICLE » Perubahan Iklim dan Penyakit Bawaan Nyamuk di Malaysia

Perubahan Iklim dan Penyakit Bawaan Nyamuk di Malaysia

Fenomena Perubahan Iklim dan Penyakit Bawaan Nyamuk di Malaysia

Terdapat pelbagai isu berkaitan persekitaran, namun, isu pemanasan global yang merangkumi perubahan iklim telah mendapat perhatian yang mendalam dan hangat diperbincangkan di seantero dunia (Haliza & Rapeah, 2015). Tiada siapa yang boleh menafikan hakikat bahawa persekitaran khususnya cuaca memainkan peranan penting dalam meneruskan kelangsungan kehidupan bumi. Misalnya, tidak kira sama ada ianya hujan gerimis, hujan lebat, salji atau panas melampau, semuanya memberi impak kepada aktiviti kehidupan khususnya manusia.

Hal ini kerana, sistem iklim merupakan asas kehidupan semua makhluk yang terdapat di muka bumi ini termasuk manusia. Lantas perubahan kepada asas ini akan merubah dan mengganggu kehidupan mereka (IPCC, 2001), justeru isu ini mendapat perhatian ramai tanpa mengira peringkat dan golongan.

Pemanasan global merupakan satu fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau, yang mana kumpulan gas ini menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Sifat kumpulan gas ini ialah membenarkan bahangan matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahangan bumi ke atmosfera. Dalam keadaan semula jadi, kandungan gas rumah hijau adalah seimbang bagi keperluan suhu global bumi. Namun, hasil daripada aktiviti manusia khususnya dalam bentuk pembakaran bahan api fosil telah meningkatkan kandungan gas rumah hijau secara berterusan seperti karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon (CFC), metana dan nitrogen oksida.Kesemua natijah ini adalah kesan daripada kerakusan dan ketamakan manusia dalam mengejar kekayaan dan keselesaan hidup. Atas nama kemajuan dan pembangunan, manusia tanpa sekelumit rasa bersalah sanggup menurunkan kualiti serta memusnahkan alam sekitar untuk mencapai objektif tersebut.

Alam sekitar telah dicipta dengan penuh teliti serta sempurna dan ianya adalah milik mutlak Allah yang dipinjamkan kepada manusia untuk kelangsungan hidup dan pembangunan tamadun. Maka, al-Quran dan sunnah memberikan penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar. Kedua-dua sumber perundangan ini menyeru manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Tuhan yang agung. Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta. Hal ini disokong pula dengan hadis Nabi SAW bermaksud; “Sesungguhnya dunia ini cantik dan subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya” (Nidzamuddin, 2008).

Hal ini membuktikan Islam sebagai agama yang syumul tidak melarang manusia mencipta kemodenan asalkan ianya tidak merosakkan. Jika formula kemodenan berlaku dengan jalan yang betul, nescaya manfaatnya berpanjangan, tetapi jika formulanya salah maka manusia sendiri yang akan menghadapi natijah daripada perbuatan mereka. Allah SWT telah menyebut dengan jelas dalam al-Quran melalui surah Ar-Ruum ayat 41, iaitu “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan di darat dan di laut oleh tangan-tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Tidak dapat dinafikan bahawa, penyebab utama kepada berlakunya kerosakan dan kemusnahan alam adalah disebabkan oleh sikap manusia yang lupa tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada mereka, iaitu memelihara serta memanfaatkan anugerah ciptaan Allah. Disebabkan sikap alpa itu, manusia berhadapan dengan kesan daripada pengabaian tanggungjawab memelihara dan memulihara alam ini. Akibatnya, berlaku pelbagai bencana alam yang memudaratkan sehingga membawa kepada kehilangan jiwa, tempat tinggal, harta benda, habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan (Haliza 2017a).

Rentetan daripada timbulnya pelbagai impak akibat aktiviti dan bentuk pembangunan yang tidak lestari, khususnya berkaitan masalah perubahan iklim kepada kesihatan dan keselamatan manusia, pelbagai agenda dan kempen telah dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada ahli masyarakat mengenai pentingnya menjaga alam sekitar terutamanya dalam usaha mengurangkan atau mencari alternatif kepada aktiviti yang boleh menjana penghasilan gas rumah hijau yang berlebihan. Justeru, pelbagai kajian telah dilakukan untuk memahami punca kepada berlakunya perubahan iklim dan kesan perubahan iklim terhadap penghuni bumi. 

FENOMENA PERUBAHAN IKLIM

Perubahan iklim dicerminkan dalam perubahan kitaran air dan cuaca yang ekstrim, dan ia adalah salah satu isu yang paling penting yang dihadapi oleh manusia pada abad ke-21. Perubahan iklim adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada sebarang perubahan iklim sama ada secara semula jadi mahupun akibat aktiviti manusia.

Umumnya, pemanasan global dan perubahan iklim merupakan fenomena alam yang berlaku secara semula jadi dan mengambil masa beribu atau berjuta tahun lamanya untuk ia terjadi. Fenomena pemanasan global misalnya mengambil masa kira-kira 5,000 hingga 15,000 tahun untuk berubah sepenuhnya dan perubahan ini bergantung kepada pelbagai faktor seperti perubahan kebenuaan (continental drift), kitar astronomi (astronomical cycles), variasi dalam penghasilan tenaga solar (solar energy output) dan aktiviti gunung berapi (volcanic activity) (Majra & Gur, 2009).

Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini fenomena perubahan iklim yang merupakan hasil daripada pemanasan global dilihat semakin membimbangkan kerana ia tidak lagi berlaku mengikut kitaran alam yang sepatutnya. Menurut Environmental Protection Agency (EPA), purata peningkatan suhu bumi dari tahun 1906 hingga 2005 adalah sekitar 1 hingga 1.70F dan peningkatan ini dijangka akan terus berlaku dari semasa ke semasa. Peningkatan kepanasan bumi akibat fenomena ini dilihat bukan sahaja menjejaskan ekosistem malah seluruh hidupan termasuk manusia (Haliza & Rapeah, 2015).

Peningkatan suhu global boleh menyebabkan berlaku perubahan pada tabiat alam, termasuk peningkatan paras air laut dan cuaca yang ekstrem seperti banjir, kemarau, gelombang panas, ribut taufan dan puting beliung (Rajah 1 dan 2). Antara kesan utama peningkatan suhu ialah pencairan ais di Artik, suatu fenomena yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia sudah pasti menjejaskan iklim dunia seluruhnya. Peningkatan suhu berbeza akan berlaku mengikut kawasan dan di hemisfera utara, suhu diramal meningkat sehingga 10°C dalam masa 100 tahun akan datang dan ini sudah pasti mencairkan ais di Artik. Rentetan itu, kesannya akan dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia sama ada dalam bentuk banjir, kemarau, cuaca sejuk, ribut taufan atau menenggelamkan kawasan rendah akibat kenaikan aras laut.

PERUBAHAN IKLIM DAN IMPAKNYA DI MALAYSIA

Kesan perubahan iklim telah dan sedang dirasai di Malaysia yang beriklim khatulistiwa. Tahun 2016 dicatatkan sebagai tahun terpanas dalam sejarah Malaysia dengan bacaan purata suhu sebanyak 27.66°C yang mengatasi rekod sebelum ini, iaitu 27.60°C pada tahun 1998. Purata suhu ini adalah 0.78°C melebihi suhu normal, iaitu purata suhu harian dari tahun 1981 sehingga tahun 2010. Sementara itu, purata suhu maksimum harian di Malaysia adalah 0.70°C di atas normal berbanding 1.03°C di atas normal bagi purata suhu minimum harian (Jabatan Meteorologi Malaysia, 2016). Hal ini diperkuatkan lagi oleh fakta hasil laporan daripada IPCC (2002), yang menyatakan bahawa suhu persekitaran di Malaysia telah meningkat dan dijangka akan terus meningkat daripada 0.6°C sehingga 4.5°C.

Di Malaysia, saintis tempatan percaya perubahan cuaca sekarang disebabkan oleh fenomena pemanasan global, sekali gus memberi kesan ketara termasuk kejadian banjir di negara ini. Jika dahulu, bencana alam seperti banjir, taufan dan puting beliung tidak begitu kerap berlaku. Namun, kini, dalam tempoh lima tahun kebelakangan, semua kejadian alam itu telah berlaku dengan lebih kerap lagi dan dalam tempoh masa yang tidak menentu, iaitu sama ada secara berpanjangan atau sementara. Mengikut kelazimannya, sebelum ini fenomena El Nino berlaku empat hingga tujuh tahun sekali dan ia terjadi apabila arus laut panas menggantikan arus laut sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan. Peningkatan suhu yang drastik pada permukaan lautan pasifik secara berkala ini mengakibatkan permukaan air laut menjadi tidak seimbang dan bergerak ke arah tekanan yang lebih rendah mengakibatkan banjir besar. Manakala tekanan atmosfera yang tinggi tertumpu di bahagian barat lautan Pasifik termasuk Malaysia lebih cenderung berlakunya kemarau. Ketidakseimbangan suhu ini juga mengakibatkan perubahan yang tidak menentu pada pola hujan dan suhu di seluruh dunia (Nurul Nadrah, 2016).

Walaupun El-Nino telah wujud sejak dahulu lagi, tetapi kini dilihat semakin kerap berlaku di Malaysia. Mulai tahun 1980 sehingga 1988, fenomena El-Nino dicatatkan berlaku empat tahun sekali. Dalam tempoh antara tahun 1998 hingga 2015 pula, fenomena tersebut akan berlaku lebih kerap iaitu tiga tahun sekali tanpa mengira ianya berlaku dalam keadaan lemah, sederhana, mahu pun kuat menyebabkan Malaysia mengalami cuaca panas yang melampau (Bernama, 2016).

Mengikut rekod, Malaysia telah berhadapan dengan fenomena ini sebanyak 12 kali bermula pada tahun 1951 hingga 1998. Tahun 1982, 1988 dan 1997 adalah rekod terburuk yang pernah dialami oleh Malaysia sehingga menyebabkan catuan air, jerebu, kemusnahan tanaman dan pencemaran. El-Nino dengan kesan sederhana direkodkan telah berlaku pada tahun 2002, 2007, 2010, 2014 dan kini 2016. Kala masa El-Nino dilihat makin kerap berlaku berbanding 20 tahun dahulu. Secara tidak langsung ianya menunjukkan bahawa pemanasan global yang meningkat secara drastik dan kejadian El-Nino saling berkait dan penyumbang dua arah dalam pembentukan fenomena tersebut. Semua ini berkait rapat dengan pemanasan global akibat pelbagai faktor seperti pembangunan, pembebasan gas karbon dioksida akibat peningkatan penggunaan kenderaan selain kesan rumah hijau (Nurul Nadrah, 2016).

Bencana alam juga direkodkan meningkat selari dengan perubahan iklim dan kesan rumah hijau yang dialami negara. Pada bulan November tahun 2014 misalnya, puting beliung telah melanda buat kali pertama di Kampung Alur Besar, Pendang, Kedah. Pada tahun 2014 juga banjir besar kali ketiga dalam tempoh dua tahun telah berlaku di Kajang, Selangor menyebabkan kerugian berjuta ringgit. Pada Disember 2013 di Kuantan, Pahang, banjir yang berlaku telah menenggelamkan ibu negeri Pahang yang mana kejadian sebegitu teruk jarang berlaku. Banjir juga melanda Penampang, Sabah manakala di Beufort, ia berlaku hampir setiap tahun. Terkini, pada awal tahun 2018, banjir buruk telah melanda Sarawak khususnya di Kuching, Kota Samarahan, Serian, Mukah dan Bintulu.

Walaupun fenomena pemanasan global dan perubahan iklim melanda seluruh dunia, namun, mereka yang tinggal di kawasan tropika seperti Malaysia lebih terdedah kepada gas rumah hijau. Ini kerana kawasan tropika khususnya khatulistiwa, suhu secara relatifnya adalah yang tertinggi dan terpanas berbanding bahagian lain di dunia. Justeru, sejak kebelakangan ini, Malaysia banyak menyaksikan perubahan cuaca yang dilihat ekstrim dan luar biasa. Adakalanya, cuaca panas terik pada sebelah pagi bertukar sejuk pada tengah hari dan dengan tidak semena-mena hujan turun dengan lebatnya, selain tiupan angin kencang. Ini menunjukkan bahawa corak iklim di Malaysia menjadi semakin sukar diramal dan luar jangkaan berbanding corak iklim normal. Sebagai contoh fenomena El-Nino.

PERUBAHAN IKLIM DAN PENGARUHNYA TERHADAP PENYAKIT BAWAAN NYAMUK DI MALAYSIA

Sejak zaman purba, faktor persekitaran seperti iklim telah dianggap berkaitan dengan keadaan fisiologi dan/atau penyakit manusia. Sebagai contoh, bagi penyakit yang melibatkan patogen bawaan serangga, kedua-dua keadaan iaitu fisiologi orang yang dijangkiti dan vektor serangga yang terjejas oleh faktor klimatologi perlu diberikan pertimbangan sewajarnya. Hal ini berkait rapat dengan hakikat bahawa kebanyakan daripada vektor arthropod ini merupakan organisa berdarah sejuk ‘poikilothermic’ yang sangat dipengaruhi oleh perubahan alam sekitarnya. Penyakit bawaan vektor ini boleh dibahagikan kepada jenis bawaan nyamuk seperti malaria, Chikungunya dan denggi; dan bukan bawaan nyamuk seperti wabak ensefalitis dan bubonik yang dibawa oleh rodensia dan kutu (Few, 2015).

Justeru, perubahan iklim global merupakan cabaran terbaharu kepada usaha yang berterusan dalam melindungi kesihatan manusia. Perubahan pada iklim bumi akan mempengaruhi fungsi kebanyakan ekosistem dan ahli dalam spesiesnya, begitu juga impak kepada kesihatan manusia. Maka, persoalan kesan fenomena perubahan iklim kepada kesihatan manusia merupakan isu yang mendapat perhatian utama di seluruh dunia. Perubahan iklim kini berada di tahap yang amat membimbangkan dan bakal mengancam kesihatan jutaan penduduk dunia ekoran peningkatan mendadak gelombang panas, penyebaran puluhan penyakit bawaan nyamuk dan masalah kekurangan nutrisi. WHO menganggarkan terdapat 250,000 kematian tambahan setahun antara 2030 dan 2050 akibat gejala perubahan iklim.

Perkaitan antara perubahan iklim dengan kesihatan manusia melibatkan pelbagai sudut kehidupan kerana ia boleh berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kesan secara langsung seperti kesan panas dan kemarau yang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti stres atau tekanan, kecederaan dan kematian akibat banjir atau ribut. Manakala kesan secara tidak langsung pula ialah perubahan kualiti air, udara, makanan, ekosistem, pertanian dan industri yang secara tidak langsung menjejaskan kualiti kehidupan manusia (IPCC, 2001; Khanna, 2010). Kesan kesihatan akibat perubahan iklim mungkin berbeza mengikut rantau, sensitiviti penduduk, tahap dan tempoh pendedahan kepada kesan perubahan iklim dan keupayaan masyarakat untuk menyesuaikan diri. Umumnya kesan perubahan iklim terhadap kesihatan bergantung kepada banyak faktor termasuk:

  1. Keberkesanan perkhidmatan kesihatan awam
  2. Sistem keselamatan untuk menangani atau bersedia untuk menangani risiko dan
  3. Tingkah laku
  4. Umur
  5. Jantina
  6. Status ekonomi individu yang terlibat
  •  Artikel ini diambil dari buku terbaharu terbitan Penerbit UPM iaitu Perubahan Iklim dan Penyakit Bawaan Nyamuk di Malaysia ditulis oleh Haliza Abdul Rahman, Hermizi Hapidin dan Wan Nor Amilah Wan Abdul Wahab. Untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh dapatkan buku ini dengan datang terus ke KEDAI BUKU PENERBIT UPM, kedai-kedai buku terpilih atau menerusi pembelian dalam talian (online) menerusi laman web http://www.upmpress.com.my 

Editor Haliza Abdul Rahman Hermizi Hapidin Wan Nor Amilah Wan Abdul Wahab

ISBN: 978-967-344-928-6

2019

RM52.00

181 Muka surat

Date of Input: 04/10/2019 | Updated: 07/10/2019 | lanjoy2006@g.mail.com

MEDIA SHARING

UPM Press
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698851
0397693623
C1571341205