Pembangunan Kontemporari Orang Asli | UPM Press
» ARTICLE » Pembangunan Kontemporari Orang Asli

Pembangunan Kontemporari Orang Asli

Mengenali Pembangunan Kontemporari Orang Asli

Di Malaysia, masyarakat orang Asli merupakan etnik peribumi minoriti yang mendapat perhatian ramai sarjana khususnya dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. Banyak kajian ilmiah telah dijalankan mengenai masyarakat orang Asli sejak sebelum merdeka sehingga kini. Umum mengetahui bahawa masyarakat orang Asli ini masih mengalami dan mengharungi pelbagai masalah dan cabaran dalam mengurus kehidupan harian mereka. Pandangan segelintir pihak yang menegaskan bahawa masyarakat minoriti ini adalah istimewa kerana mereka mendapat perhatian dan bantuan daripada kerajaan perlu diubah. Hal ini kerana walaupun mereka mendapat bantuan daripada kerajaan, akan tetapi orang Asli masih lagi dibelenggu dengan pelbagai masalah terutamanya dalam aspek sosial dan ekonomi. Sejauh manakah pencapaian masyarakat orang Asli dalam aspek sosial dan ekonomi selepas kerajaan melaksanakan pelbagai dasar dan pelan strategik untuk membawa mereka keluar daripada kemiskinan dan keterpinggiran? Apakah pembangunan yang dibawa oleh pihak berkepentingan mengambil kira kehendak dan keperluan masyarakat orang Asli? Sejauh manakah suara atau naratif orang Asli menjadi tema dalam penggubalan dasar pembangunan komuniti? Semua persoalan tersebut menjadi tema perbincangan dalam buku Pembangunan Kontemporari Orang Asli ini.

 

MASYARAKAT ORANG ASLI DI MALAYSIA

Masyarakat orang Asli merupakan golongan etnik minoriti di Malaysia. Masyarakat ini terbahagi kepada tiga kelompok utama dengan 18 suku kaum. Tiga kelompok utama adalah kelompok Melayu-Proto, Senoi dan Negrito (Jabatan Kemajuan Orang Asli, 2011). Setiap kelompok ini terbahagi pula kepada enam suku kaum. Misalnya Melayu-Proto terdiri daripada suku Temuan, Semelai, Jakun/Temoq, orang Kanaq, orang Seletar dan orang Kuala (Mohd Roslan, 2016, hlm. 27). Manakala kelompok Senoi pula adalah seperti Semai, Temiar, Che Wong, Jahut, Semoq Beri dan Mah Meri (Mohd Roslan, 2016, hlm. 27). Bagi Negrito pula adalah seperti Kintaq, Kensiu, Jahai, Mendriq, Bateq dan Lanoh (Mohd Roslan, 2016, hlm. 27). Penduduk orang Asli pada 2016 adalah seramai 178,197 orang, hanya 0.6% daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 28.3 juta (Jabatan Kemajuan Orang Asli, 2016, hlm. 24). Berdasarkan Seksyen 3 dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), orang Asli ditakrifkan sebagai: i. Mana-mana yang bapanya ialah ahli daripada kumpulan etnik orang Asli, yang bercakap bahasa orang Asli dan lazimnya mengikut cara hidup orang Asli dan adat kepercayaan orang Asli, dan termasuklah seorang keturunan melalui lelaki itu; ii. Mana-mana orang daripada mana-mana kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa budak oleh orang Asli dan yang telah dibesarkan sebagai seorang orang Asli, lazimnya bercakap bahasa orang Asli, mengikut cara hidup orang Asli dan adat kepercayaan orang Asli, dan menjadi ahli daripada suatu masyarakat orang Asli; atau iii. Anak daripada mana-mana penyatuan antara seorang perempuan orang Asli dengan seorang lelaki daripada suatu kaum lain, dengan syarat anak itu lazimnya bercakap bahasa orang Asli dan kepercayaan orang Asli dan masih lagi menjadi ahli daripada suatu masyarakat orang Asli (Jabatan Kemajuan Orang Asli, 2011, hlm. 14-17). Masyarakat orang Asli adalah warga peribumi sebagai penduduk asli di Semenanjung Malaysia yang mempunyai budaya, bahasa, kepercayaan dan gaya hidup mereka sendiri. orang Asli bukan etnik minoriti homogen (Gomes, 2014; William-Hunt, 1998; Williams-Hunt, 1952). Mereka bersifat heterogen dengan perbezaan sosiobudaya antara setiap kaum 3 Mengenali Pembangunan Kontemporari Orang Asli (Jabatan Kemajuan Orang Asli, 2011). Misalnya kumpulan masyarakat orang Asli mempunyai dialek dan bahasa sendiri yang mewakili setiap suku kaum mereka. Bahasa orang Asli umumnya hanya difahami dalam kalangan mereka (Zalizan, Abdul Razak & Ahmad Rafaai, 2009). Seperti masyarakat lain, orang Asli juga telah mengalami perubahan, sama ada perubahan itu dirancang atau perubahan itu datang daripada komuniti itu sendiri. Isu berkenaan kemunduran dan kemiskinan sering dikaitkan dengan komuniti ini. Namun, dari semasa ke semasa masyarakat ini mengalami perubahan kesan daripada hambatan globalisasi dan kemodenan. Perlu ditegaskan bahawa orang Asli sudah mula menerima perubahan. Tidak ada masyarakat di dunia ini yang tidak mahu berubah. Semuanya akan melalui proses perubahan sama ada perubahan itu cepat mahupun perlahan. Namun perubahan ini sudah pasti membawa pelbagai cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi. Jika halangan itu berjaya ditempuhi maka berjayalah sesebuah komuniti itu untuk membangun dan berdaya maju. Jika sebaliknya yang berlaku, maka komuniti itu akan terus mengalami kemerosotan. Oleh itu, setiap bab dalam buku ini mengupas fenomena pembangunan orang Asli pada masa kini.

 

PEMBANGUNAN KONTEMPORARI ORANG ASLI

Pembangunan ialah konsep yang digunakan dan dibincangkan secara meluas oleh sarjana khususnya dalam bidang sains sosial. Walaupun pembangunan satu perkataan yang sudah biasa diperkatakan, tetapi pengertian konsep pembangunan begitu luas cakupannya. Pengertian pembangunan bermula dari perspektif sosiologi klasik (Durkheim, Weber, & Marx) dan modenisasi oleh Rostow. Konsep pembangunan yang mudah dan popular ialah kemakmuran ekonomi (Ahmad Shukri & Rosman, 2003). Kemakmuran ekonomi dikaitkan dengan taraf kehidupan yang lebih baik (Tadaro & Smith, 2008). Manakala, Tikso (2005) menyatakan bahawa, pembangunan sebagai transformasi, sosial dan budaya yang secara sengaja dan dirancang melalui strategi yang telah ditetapkan bagi menuju ke arah sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Oleh itu, pembangunan adalah satu proses perubahan dan transformasi yang dirangka dan melibatkan masyarakat dan juga pemegang taruh (stakeholder) dalam memakmurkan kesejahteraan ekonomi, politik, sosial dan insan tanpa merosakkan budaya dan kehidupan sosial serta memiliki kehidupan yang lebih baik. 4 Pembangunan Kontemporari Orang Asli Berbicara mengenai pembangunan kontemporari orang Asli merujuk kepada perubahan semasa masyarakat orang Asli dari segi pembangunan ekonomi, politik, sosial termasuk pembangunan insan setelah hampir enam dekad mencapai kemerdekaan. Kupasan mengenai pembangunan masyarakat orang Asli dahulu dan kini hampir sama ‘nada’ nya. Justeru, apakah masyarakat orang Asli tidak menerima ‘tempias’ pembangunan yang telah direncanakan? Walau apa pun ‘nada’ bunyinya, kita perlu menerima hakikat bahawa orang Asli tidak pernah ketinggalan dalam kerangka pembangunan yang telah direncanakan. Saban tahun pelbagai program pembangunan telah dijalankan untuk masyarakat orang Asli (rujuk Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli 2011-2015 oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli pada tahun 2011). Walaupun pembangunan adalah satu proses perubahan, namun pengekalan budaya dan kehidupan sosial perlu dikekalkan. Contohnya, masyarakat orang Asli sangat rapat dengan budaya dan persekitaran. Oleh yang demikian, polisi pembangunan orang Asli perlu bersifat ‘Alter Native social ecology’, iaitu pembangunan yang mengambil kira terhadap ekuiti (equity), keselamatan (peace and security) dan kemampanan (sustainability) (Gomes, 2012). Bagi mencapai hasrat ini, pembangunan kontemporari orang Asli memerlukan negotiation power di antara pemegang taruh dan juga masyarakat orang Asli itu sendiri. Oleh itu, barulah pembangunan tersebut dapat dilihat melalui kaca mata dan keperluan masyarakat orang Asli.

* Artikel ini diambil dari buku terbaharu terbitan Penerbit UPM iaitu Pembangunan Kontemporari ORANG ASLI di tulis oleh Sarjit S.G Gill dan Mohd. Roslan Rosnon. Untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh dapatkan buku ini di kedai-kedai buku terpilih atau menerusi pembelian dalam talian (online) menerusi laman web http://www.upmpress.com.my Ia juga boleh didapati dengan datang terus ke Galeri Buku Penerbit UPM.

 * Buku ini memenangi ANUGERAH BUKU NEGARA 2019 untuk kategori Buku Umum Terbaik Komuniti/Kemasyarakatan

 

Sarjit S.G. Gill • Mohd. Roslan Rosnon

ISBN: 978-967-344-822-7

2019

RM48.00

248 Muka surat

Date of Input: 01/04/2019 | Updated: 02/04/2019 | lanjoy2006@g.mail.com

MEDIA SHARING

UPM Press
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698851
0397693623
C1568824156