Cakna Hak Cipta, Elak Ciplak | PENERBIT UPM
» ARTIKEL » Cakna hak cipta, elak ciplak

Cakna hak cipta, elak ciplak

Oleh NOR AZILA AZMI

KITA menyambut World Book and Copyright Day pada 23 April setiap tahun bertujuan mempromosi penerbitan buku, pembacaan serta perlindungan hak cipta.

Isu hak cipta sentiasa antara isu yang sering diperkatakan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Di Malaysia, isu hak cipta dipandang enteng oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan pelbagai masalah.

Hal ini kerana sikap ambil mudah dan tidak cakna masyarakat dengan gejala negatif ini. Pelaku hak cipta tidak segan silu melakukan kesalahan antaranya cetak rompak, ciplak atau plagiat, serta membuat salinan (fotostat) buku tanpa kebenaran dan mengedarkan kepada khalayak.

Antara isu berkaitan hak cipta yang sering berlaku adalah ciplak dalam dunia penerbitan ilmiah. Ciplak atau plagiat mengikut Kamus Dewan merupakan tindakan mencedok atau meniru sebahagian atau keseluruhan hasil penulisan orang lain dan mengakuinya seperti hasil karya sendiri.

Ia membawa maksud hasil penulisan orang lain diakui sebagai karya sendiri tanpa memberikan pengiktirafan kepada pemilik sebenar karya. Penerbitan ilmiah sering terdedah dengan isu ciplak khususnya melibatkan karya penyelidikan dan karya asli.

Dunia akademik mengangkat tinggi nama seseorang ahli akademik berdasarkan kepada pencapaian dalam bidang penulisan ilmiah. Bagi menuju ke puncak populariti, seseorang ahli akademik dikehendaki menghasilkan karya yang mempunyai penemuan dan kualiti yang tersendiri.

Proses penulisan sering menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) penting yang perlu dicapai. Dalam mengejar pencapaian ini, penulis perlu sedar tanggungjawab serta amanah yang dipikul dan berpegang kepada integriti dalam penulisan.

Implikasi daripada perbuatan menciplak boleh membawa kepada penggantungan kerjaya, diberhentikan serta diambil tindakan atas tuduhan penyelewengan akademik. Ia turut memberi kesan kepada imej dan integriti penerbit yang terlibat dalam penerbitan karya itu.

Penerbit juga akan terdedah kepada kemungkinan di saman dan diheret ke mahkamah. Ini sekali gus menjatuhkan nama dan kewibawaan yang dicipta dalam bidang penerbitan.

Selain itu, wujud sebahagian kes di mana penulis yang juga merupakan pensyarah atau penyelia menumpang nama kepada hasil penyelidikan pelajar. Hasil kerja pelajar diakui sebagai penerbitan bersama sedangkan hakikat sebenarnya tiada sumbangan yang diberikan dalam penulisan berkenaan.

Pada era digital kini, data dan maklumat semakin mudah diakses dan dicapai. Plagiat atau ciplak menerusi Internet seolah-olah sudah menjadi suatu amalan yang biasa. Kekangan masa dan kekurangan idea turut menyumbang kepada permasalahan ini. Tambahan pula perbuatan menciplak tidak memerlukan sebarang kemahiran atau skil khusus.

Dalam dunia yang mana capaian maklumat hanya di hujung jari, beberapa saat sahaja diperlukan untuk pemerolehan dan pemalsuan data, maklumat dan idea. Faktor kurang pengetahuan tentang undang-undang hak cipta, plagiat dan cetek dalam penyelidikan turut mendorong kepada isu ini.

Dalam usaha membanteras budaya ciplak, adalah penting untuk seorang penulis mempunyai rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri, organisasi dan masyarakat secara umumnya. Perlu ada sifat jujur dan ketelitian dalam menghasilkan karya yang bermutu tanpa mencedok idea dan penulisan orang lain.

Penulis perlu memberikan apresiasi terhadap sumber rujukan yang digunakan. Fakta yang dirujuk perlu disusun semula menggunakan ayat sendiri serta memberi kredit kepada penulis asal. Ini memperlihatkan penghormatan dan kredibiliti sebagai seorang ahli akademik dan penulis secara khususnya.

Bagi sesebuah penerbit pula, karya yang diterima perlu diteliti dan diurus secara telus. Penggunaan perisian pengesan elemen ciplak seperti Turnitin, DupliChecker dan Grammarly boleh dimanfaatkan. Adalah penting untuk mendapatkan perakuan bertulis mengenai keaslian sesuatu karya yang diterima untuk diterbitkan.

Kempen dan program kesedaran hak cipta oleh universiti perlu disebarluaskan kepada seluruh warganya melalui media cetak dan elektronik. Dengan penyampaian informasi berhubung dasar penerbitan, etika akademik dan hak cipta dalam penulisan kepada semua boleh menerapkan kefahaman dan kesedaran dalam hal ini.

Pelanggaran hak cipta terutama isu menciplak dalam dunia penerbitan ilmiah perlu dipandang serius oleh warga institusi pengajian tinggi. Dengan itu, warga universiti akan cakna dan menolak budaya negatif ini daripada terus berleluasa.

– BebasNews

Nor Azila Azmi bertugas di Pusat Penerbit Universiti, Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Artikel ini di ambil menerusi laman web BebasNews. Klik untuk ke artikel sebenar.

Tarikh Input: 24/04/2020 | Kemaskini: 24/04/2020 | lanjoy2006@g.mail.com

PERKONGSIAN MEDIA

PENERBIT UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698855
0397693623
B1604129701