Anda Dan Alam Sekitar | UPM Press
» ARTICLE » Anda dan Alam Sekitar

Anda dan Alam Sekitar

Manusia sebagai Khalifah yang Memakmurkan Alam

 

 

Alam sekitar adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Air, udara, tanah, gunung-ganang dan haiwan adalah sebahagian daripada alam sekitar. Allah menciptakan alam sekitar dengan fungsinya yang tertentu untuk kesejahteraan manusia bagi meneruskan kelangsungan kehidupan di muka bumi. Alam sekitar yang bersih dan sihat membantu kita untuk meneruskan kehidupan dalam kesejahteraan.

Alam sekitar yang bersih sangat perlu dipelihara. Hal ini kerana alam sekitar membekalkan oksigen kepada kita untuk bernafas, air untuk diminum, makanan dan tapak untuk beriadah. Semua perkhidmatan alam sekitar ini membolehkan manusia meneruskan kelangsungan kehidupan dengan jayanya di muka bumi. Air misalnya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan manusia kerana ia menyokong pertumbuhan dan kesihatan manusia.

Kita dicipta daripada unsur alam, seperti tanah dan air. Maka sewajarnya kita menghargai semua anasir diri kita ini dengan cara memelihara dan memuliharanya. Penciptaan alam semesta juga adalah untuk memudahkan manusia melakukan pengabdian kepada Allah. Sebagai contoh, Allah menurunkan air supaya dapat digunakan oleh manusia untuk bersuci dalam proses melakukan ibadat kepadanya. Tanah pula digunakan untuk bercucuk tanam bagi membolehkan kita berzakat dan boleh digunakan sebagai pengganti air iaitu tayammum sekiranya ketiadaan air dan kita mempunyai keuzuran yang menghalang penggunaan air. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-A’raaf, ayat 58 yang bermaksud:

Hendaklah kamu bertayammum dengan tanah yang baik (bersih).

 

Dalam agama Islam, al-Quran dan sunnah sememangnya memberikan penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar yang mana kedua-dua sumber perundangan ini menyeru manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Tuhan yang agung. Islam sebagai agama yang syumul, melarang sebarang bentuk pencemaran di samping menggesa kita untuk memanfaatkan khazanah alam yang mana usaha murni ini disanjung mulia oleh agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung di sisi Allah.

 

Dalam al-Quran, terdapat beratus-ratus ayat mengenai alam sekitar yang sepatutnya menuntut kita berfikir. Allah bercerita mengenai air, langit, bumi, tanah, bukit, gunung-ganang, fenomena alam sekitar, bulan, bintang dan matahari, semua itu antara lain adalah untuk kita bersyukur dan menghargai semua ciptaan itu. Firman Allah S.W.T dalam Surah Hud ayat 61:

...Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta

menghendaki kamu memakmurkannya...

 

Istilah ‘memakmurkan alam’ ini adalah merangkumi semua aspek kehidupan manusia, tidak kira sama ada yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan penciptanya, hubungan manusia sesama manusia mahupun hubungan manusia dengan alam sekitar seluruhnya. Justeru, kita sebagai khalifah perlulah menyedari bahawa tugas melestarikan alam sekitar bukan merupakan suatu pilihan tetapi suatu kewajipan yang sangat dituntut oleh Islam.

 

Malahan, Islam mengajar kita bahawa setiap kejadian di atas muka bumi ini dan segala komponen yang ada di dalamnya mempunyai peranan dan fungsi masing-masing. Dalam konteks ini, komponen berkenaan saling berkait rapat serta berinteraksi antara satu sama lain dalam suasana yang harmoni dan kita sebagai manusia tidak berhak merosakkannya dengan sewenang-wenang. Perspektif ini adalah berdasarkan ajaran tauhid yang menerangkan kedudukan serta peranan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini manakala alam sekitar adalah sebahagian daripada ciptaan-Nya. Dalam Surah al-Imran ayat 190-191 dinyatakan:

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta peralihan malam

dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Iaitu

orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau berbaring

dan mereka berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata:

“Ya Tuhan kami tiadalah Engkau mencipta semua ini dengan sia-sia”.

 

Namun, perkembangan zaman moden dengan perkembangan pesat bidang sains dan terciptanya pelbagai teknologi telah membawa kesan negatif kepada alam sekitar. Alam sekitar mula menghadapi tekanan yang serius akibat aktiviti manusia yang tidak lestari sehingga sistem ini berkemungkinan akan terus mengalami kemerosotan dan kemusnahan sehingga tidak boleh diperbaiki lagi. Menurut Mohd Ekhwan (2004) dalam artikelnya “Pengurusan bencana alam: Pengalaman Malaysia”, di Malaysia, beberapa tahun kebelakangan ini berlaku peningkatan yang ketara terutama bentuk kejadian bencana alam yang tidak berkala seperti tanah runtuh, hujan ribut diikuti oleh banjir dan kemarau. Aktiviti manusia seperti memusnahkan hutan, mengeringkan air di kawasan tanah lembap dan pencemaran telah memusnahkan spesies tertentu di sesebuah kawasan dan mungkin menghapuskan spesies tersebut secara keseluruhan. Harimau Kaspia di Asia Tengah, harimau Jawa dan harimau Bali merupakan antara contoh spesies yang telah pupus pada abad yang lepas akibat pengaruh dan campur tangan keterlaluan oleh manusia.

* Artikel ini diambil dari buku terbaharu terbitan Penerbit UPM iaitu ANDA DAN ALAM SEKITAR ditulis oleh Haliza Abdul Rahman. Untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh dapatkan buku ini di kedai-kedai buku terpilih atau menerusi pembelian dalam talian (online) menerusi laman web http://www.upmpress.com.my Ia juga boleh didapati dengan datang terus ke Galeri Buku Penerbit UPM.

 

 

Haliza Abdul Rahman

ISBN: 978-967-344-880-7

2019

RM38.00

101 Muka surat

Date of Input: 02/04/2019 | Updated: 02/04/2019 | lanjoy2006@g.mail.com

MEDIA SHARING

UPM Press
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698851
0397693623
C1574207003