PUTRAJAYA, 22 APRIL - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meraikan sambutan 20 tahun penubuhannya dengan melancarkan buku istimewa Helang Samudera: Perisai Maritim Negara dalam satu majlis penuh istiadat di Putrajaya, hari ini.
Peluncuran buku disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, sebagai tanda sokongan baginda terhadap peranan dan usaha berterusan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara sejak awal penubuhannya.
Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapan beliau, menyifatkan penerbitan buku ini sebagai satu penghormatan buat wira-wira maritim negara dengan menampilkan kisah keberanian dan dedikasi mereka sepanjang dua dekad berkhidmat.
Turut hadir dalam majlis anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) bersama APMM ini ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah KDN.
Buku setebal 180 halaman terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini menyorot kembali perjalanan dua dekad penubuhan APMM sejak 15 Februari 2005. Ia turut mengandungi naratif visual beresolusi tinggi, perjalanan operasi sebenar dan sejarah penting Maritim Malaysia, termasuk kejayaan operasi menyelamat dan jalinan kerjasama antarabangsa.
Sebagai usaha mempertingkat kesedaran awam tentang perairan negara, naskhah ini akan diedarkan ke perpustakaan, institusi pendidikan, serta agensi sahabat dalam dan luar negara, sekali gus menjadi sumber rujukan dan inspirasi untuk generasi muda.

Tarikh Input: 07/05/2025 | Kemaskini: 07/05/2025 | marlina_is

Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Bin Hameed Sultan
Pengarah
Penerbit Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM, Serdang Selangor