Kedai Buku UPM Berimej Baharu | PENERBIT UPM
» BERITA » Kedai Buku UPM Berimej Baharu

Kedai Buku UPM Berimej Baharu

SERDANG 27 Sept – Penerbit UPM telah mengadakan Majlis Perasmian Kedai Buku Penerbit UPM dan Apresiasi Karyawan 2019 bertempat di Kedai Buku Penerbit UPM.

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia.

Dalam ucapannya, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini mengucapkan tahniah kepada Penerbit UPM atas pembukaan Kedai Buku yang diusahakan hasil daripada penjanaan pendapatan Penerbit melalui jualan buku dan perkhidmatan penerbitan profesional.

Katanya lagi, dalam menghasilkan karya penerbitan Penerbit perlu lebih memfokus pada kualiti hasil karya berbanding kuantiti.

Beliau berharap Kedai Buku Penerbit UPM dapat dijadikan sebagai salah sebuah tempat yang wajib dilawati oleh pengunjung luar ke UPM dengan kerjasama COSComm. 

Pada majlis tersebut, Penerbit turut melancarkan buku terbitan 2018 dan 2019 serta aplikasi eBook@Penerbit UPM.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Apresiasi Karyawan kepada pengarang buku dan jurnal terbitan Penerbit UPM.

Sebanyak lapan kategori anugerah telah dipilih untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pengarang atas sumbangan ilmu pengetahuan dalam bentuk penulisan karya ilmiah yang memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat luar. 

Anugerah tersebut adalah Royalti Tertinggi, Buku Paling Laris, Penulis Paling Aktif, Penulis Muda Paling Aktif, Fakulti Paling Produktif, Buku Paling Popular, Buku Malar Hijau dan tiga anugerah bagi jurnal; kategori Makalah Terbaik Pertanika Journal of Social Sciences & Humanities, kategori Pertanika Journal of Science & Technology dan kategori Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science

Penerbit UPM turut memberikan Anugerah Khas buat Allahyarham Tuan Haji Mokhtar Tohar, pengarang yang banyak menghasilkan buku berkaitan etika dan protokol dalam majlis.. 

Anugerah disampaikan kepada isteri allahyarham yang dijemput hadir untuk menerima penghargaan tersebut.

Sebagai penerbit universiti, Penerbit juga tidak melupakan tanggungjawab sosialnya dalam menyebarluaskan ilmu pengetahuan kepada masyarakat terutama di sekitar UPM.

Dalam merealisasikan aspirasi Penerbit ke arah membudayakan masyarakat yang berilmu dan mempunyai daya fikir yang tinggi, wakil daripada lima buah sekolah di sekitar Serdang dan Bangi turut dijemput menerima sumbangan buku bagi kegunaan perpustakaan sekolah tersebut.

Sekolah tersebut ialah Sek. Men. Keb Seri Indah, Sek Men. Keb Sri Serdang, Sek. Men. Keb Bandar Seri Putra, Sek. Jenis Keb. (Tamil) Serdang dan Sek. Jenis Keb. (Cina) Serdang Baru 2.

Seusai penyampaian sumbangan buku, YBhg. Prof. Datin Paduka dan para jemputan dibawa melawat  Kedai Buku. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zulkifli Idrus merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Universiti (JKPEN) dan pegawai kanan UPM.

Tarikh Input: 15/10/2019 | Kemaskini: 15/10/2019 | marlina_is

PERKONGSIAN MEDIA

PENERBIT UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698851
0397693623
C1574205408