Pusat Penerbit UPM telah menganjurkan Bengkel Pertukaran Pengetahuan PERTANIKA 2025 pada 22 Disember 2025 bertempat di Auditorium Rashdan Baba, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Putra Malaysia.
Objektif bengkel ini adalah untuk berkongsi pengetahuan berkaitan penyelidikan yang berkualiti dan penulisan akademik yang berintegriti, membimbing peserta menerbitkan artikel dalam jurnal berimpak tinggi, memberikan pendedahan tentang amalan penerbitan beretika, serta mewujudkan platform interaksi antara penulis, editor dan penilai (reviewer).
Bengkel ini telah dihadiri oleh hampir lapan puluh orang peserta daripada pelbagai universiti di seluruh Malaysia dan dirasmikan dengan ucapan pembukaan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Zamberi Sekawi. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pertukaran pengetahuan, integriti penyelidikan dan penerbitan akademik yang berkualiti tinggi.
Perkongsian pertama telah disampaikan oleh Dr. Puvaneswaren Kunasekaran, Ketua Editor Pertanika Journal of Social Sciences & Humanities (PJSSH). Sesi ini memfokuskan kepada penerbitan dalam jurnal bertaraf tinggi, termasuk perkongsian tip praktikal dan peluang kepada para penulis.
Sesi perkongsian kedua pula disampaikan oleh Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan, Ketua Editor Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science (PJTAS), yang berkongsi pandangan mengenai penghasilan artikel ulasan berimpak tinggi serta strategi penulisan akademik yang berkesan.
Pada sesi petang, perkongsian ketiga telah disampaikan oleh Profesor Dr. Luqman Chuah Abdullah, Ketua Editor Pertanika Journal of Science & Technology (PJST). Sesi ini menekankan aspek penulisan dan penerbitan artikel penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Bengkel ini diakhiri dengan sesi penutup yang disampaikan oleh Ketua Seksyen Penerbitan dan Editorial Jurnal Pertanika yang memberikan panduan menyeluruh berkaitan penyerahan manuskrip untuk Jurnal Pertanika, Prosiding dan Bab Buku. Sesi ini turut merangkumi penyediaan manuskrip, prosedur penyerahan serta proses ulasan sejawat (peer-review), sekali gus menawarkan panduan praktikal yang amat berguna kepada bakal penulis.



Tarikh Input: 02/01/2026 | Kemaskini: 02/01/2026 | marlina_is

Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Bin Hameed Sultan
Pengarah
Penerbit Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM, Serdang Selangor