Kajian Kualitatif
Computer Aided Qualitative Data Analysis
Ramai penyelidik takut untuk menjalankan kajian kualitatif dengan
alasan ia sukar, memakan masa yang panjang serta ketiadaan perisian
menganalisis data sebagaimana dalam kajian kuantitatif. Betulkah begitu?
Percayalah, semua ini hanyalah satu mitos yang tidak pernah
dibuktikan kesahihannya. Kajian kualitatif, sebagaimana kajian kuantitatif
juga adalah satu pendekatan yang sangat penting khususnya dalam kajian
sains sosial. Kajian kualitatif penting kerana keupayaannya mengupas
secara mendalam data subjektif berbentuk seperti temu bual, nota lapangan,
rakaman suara, video, foto, dokumen, online discourse bagi mentafsir
pendapat, persepsi dan persetujuan. Taksiran daripada data sebegini
menjangkaui sekadar angka yang terdapat dalam kajian kuantitatif.
Saya bermula dengan satu akronim CAQDAS iaitu Computer Aided
Qualitative Data Analysis, yang merujuk kepada perisian komputer untuk
menganalisis data kualitatif. Beberapa contoh CAQDAS yang terdapat di
pasaran adalah ATLAS.ti, NVivo, MAXqda, Qualrus, sekadar menulis
beberapa nama.
Saya tidak bercadang untuk mengupas dan membandingkan setiap
CAQDAS tetapi akan memperkenalkan ATLAS.ti (versi 8). Dalam konteks
kajian kualitatif di Malaysia, mungkin ramai pensyarah, penyelidik dan
pelajar yang telah pun mengenali atau sekurang-kurangnya mendengar
perisian NVivo. Maka buku ini memberi satu lagi alternatif kepada mereka
yang berminat untuk membuat kajian kualitatif dengan ATLAS.ti 8.
ATLAS.ti 8 sebagaimana CAQDAS yang lain dibina untuk membantu
penyelidik membongkar secara sistematik kisah di sebalik data kualitatif.
ATLAS.ti 8 berperanan sebagai perisian bagi memudahkan kod diproses
dan dikategorikan mengikut tema dalam bentuk visual, teks dan semantic
link atau network bagi tujuan memudahkan tafsiran data kualitatif
dilakukan.
Oleh kerana terdapat lebih daripada satu CAQDAS di pasaran,
maka timbul juga persoalan – mana yang lebih baik? Untuk berlaku adil,
digariskan empat perkara asas yang perlu diberikan perhatian dalam
membuat perbandingan ini.
Pertama: Sebelum memutuskan untuk menggunakan mana-mana
CAQDAS, anda perlu menguasai asas analisis kualitatif terlebih dahulu
seperti konsep kod, quotation dan pembentukan tema.
Kedua: CAQDAS hanyalah alat untuk membantu penyelidik dalam
proses menganalisis data kualitatif secara lebih efisien. Sama seperti mesin
jahit yang tidak akan dapat menghasilkan jahitan yang cantik dan kemas
jika tukang jahit tidak terlebih dahulu tahu asas jahitan dan bagaimana
menggunakan mesin jahit tersebut.
Ketiga: Pastikan CAQDAS yang dipilih ada sokongan kepakaran dan
teknikal di institusi anda. Sokongan ini juga termasuk daripada sumber
online yang mudah untuk dirujuk jika timbul masalah. Sebagai pelajar
pascasiswazah misalnya, anda tidak digalak menggunakan apa-apa perisian
yang hanya anda seorang sahaja yang berminat untuk menggunakannya.
Keempat: Oleh kerana semua CAQDAS menjalankan fungsi yang
hampir sama, harga yang rendah dengan tawaran diskaun kepada pelajar
tentunya perlu dipertimbangkan. Dalam kes ini, ATLAS.ti 8 mempunyai
versi pelajar yang lebih murah dan mampu dimiliki. Sila ke laman sesawang
ATLAS.ti 8 untuk mengetahuinya lebih lanjut seperti dalam Rajah 1.1.
Kajian kualitatif
Buku ini ditulis untuk memperkenalkan perisian ATLAS.ti 8 bukan buku
tentang kajian kualitatif. Namun begitu, buku ini akan memasukkan juga
asas kajian kualitatif secara ringkas sahaja. Kajian kualitatif melibatkan
beberapa asas yang perlu diketahui. Antara prinsip utama kajian kualitatif
adalah seperti berikut:
● Kajian kualitatif melibatkan data yang bersifat subjektif seperti
transkrip temu bual, foto, grafik, audio dan video.
● Kajian kualitatif melibatkan pentafsiran data subjektif bagi memberi
makna kepada sesuatu kes, insiden atau fenomena.
● Kajian kualitatif melibatkan penentuan kod kepada segmen yang
kritikal (atau quotation) dan membuat kategori dan subkategori bagi
menghubungkan kod tersebut mengikut tema tertentu.
● Bagi kajian kualitatif, penyelidik adalah instrumen, mengumpul dan
mentafsir data.
● Proses melaksanakan kajian kualitatif adalah fleksibel dan boleh
berubah bagi meningkatkan keberkesanannya mencapai objektif yang
telah ditetapkan.
● Dalam kajian kualitatif, penekanan diberikan kepada proses triangulasi
bagi meningkatkan kesahan dapatan kajian.
Artikel ini diambil dari buku terbaharu terbitan Penerbit UPM iaitu Analisis Data Kualitatif dengan Atlas.ti 8 ditulis oleh Othman Talib. Untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh dapatkan buku ini dengan datang terus ke KEDAI BUKU PENERBIT UPM, kedai-kedai buku terpilih atau menerusi pembelian dalam talian (online) menerusi laman web http://www.upmpress.com.my
Tarikh Input: 30/03/2020 | Kemaskini: 30/03/2020 | lanjoy2006@g.mail.com
Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Bin Hameed Sultan
Pengarah
Penerbit Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM, Serdang Selangor