Bagaimana Menulis Tesis | UPM Press
» ARTICLE » Bagaimana Menulis Tesis

Bagaimana Menulis Tesis

JOM TULIS TESIS

 

PENGENALAN/PENGANTAR

Pengenalan bagi setiap bab seharusnya ringkas dan padat. Biasanya pengenalan bab cuma menjelaskan apa yang terkandung dalam bab tersebut. Tidak perlu untuk menjelaskan dengan panjang lebar. Hal ini supaya penjelasan bagi pengenalan ini tidak bertindih dengan latar belakang mahupun sorotan kajian. Oleh itu, adalah wajar supaya penulisan pengenalan ini bertumpu kepada penjelasan ringkas tentang kandungan keseluruhan bab satu. 

Namun, pengenalan boleh juga menjelaskan sedikit tentang kajian yang dilakukan. Oleh itu, adalah wajar untuk menjelaskan tentang kajian dengan ringkas supaya tidak bertindih ataupun sama dengan penulisan dalam latar belakang kajian mahupun permasalahan kajian. Bab ini merupakan bab pengenalan yang mengandungi latar belakang kajian/sejarah/asal usul berkaitan dengan kajian yang dijalankan. Bab ini juga membincangkan permasalahan, persoalan dan objektif kajian yang bertitik tolak daripada jurang penyelidikan yang terdapat dalam pernyataan masalah tersebut. Selain itu, bab ini juga mengandungi kepentingan kajian yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak, batasan kajian yang disertakan dengan justifikasi pemilihan bahan/instrumen/sampel serta ringkasan organisasi kajian.

 

Penulisan Pengenalan 

  1. Penulisan pengenalan haruslah ringkas dan padat. 
  2. Satu perenggan sahaja. 
  3. Jelaskan apa yang terdapat dalam bab ini. 
  4. Huraian ringkas tentang kajian yang dilakukan. 
  5. Tidak menyentuh tentang latar belakang kajian. 

 

LATAR BELAKANG KAJIAN/ SEJARAH 

Penulisan dalam bahagian ini seharusnya mengandungi penjelasan tentang latar belakang kajian yang ingin dijalankan. Latar belakang ini termasuklah penjelasan tentang kajian itu sendiri ataupun sejarah bermulanya sesuatu perkara itu serta asal usul yang perlu difahami oleh pembaca. Adalah wajar jika bahagian pengenalan ini hanya mempunyai dua hingga empat halaman sahaja memandangkan jika terlalu panjang, penulisan akan menjadi keliru dan akhirnya bertindih dengan sorotan kajian. Selain itu, dalam bahagian ini juga perlu ada rujukan. Hal ini kerana rujukan yang menyokong penulisan tersebut akan lebih mengukuhkan lagi gaya penulisan terutama jika pernyataan yang ditulis merujuk sejarah atau asal usul sesuatu perkara itu. Cerita rakyat Melayu merupakan cerita yang diceritakan sejak zaman dahulu lagi (Normaliza Abd Rahim, Awang Azman Awang Pawi & Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi, 2017). Malah, cerita rakyat masih diceritakan dalam kalangan masyarakat dewasa namun kanak-kanak kurang meminati untuk mendengar dan tidak peka dengan kewujudannya. Hal ini kerana kanak-kanak lebih gemar menonton filem melalui teknologi terkini yang berasal dari barat dan ada juga teknologi terkini seperti animasi dibangunkan oleh negara seperti Jepun dan Korea. Animasi ini lebih digemari oleh masyarakat Malaysia memandangkan pengeluar animasi ini memaparkan animasi yang berbentuk 3D ataupun 4D. Hal ini dianggap sebagai satu inovasi yang terkini dan kanak-kanak dari seluruh negara lebih gemar menontonnya (Normaliza Abd Rahim, Awang Azman Awang Pawi & Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, 2018). Dengan wujudnya teknologi yang terkini, membuatkan masyarakat di Malaysia terpengaruh dan lebih menumpukan perhatian terhadap teknologi tersebut, maka adalah wajar jika Malaysia juga bangun dan mengejar teknologi tersebut demi warisan budaya dan bangsa negara. Pelajar sindrom Asperger merupakan pelajar yang digolongkan dalam kalangan pelajar istimewa. Kehadiran pelajar ini dalam masyarakat dunia telah sedikit sebanyak memberikan kesedaran akan kewujudan mereka. Kajian oleh Normaliza Abd Rahim & Siti Nur Aliaa (2012) memberi fokus kepada penggunaan kata kerja dalam cerita binatang dalam kalangan pelajar sindrom Asperger. Tetapi terdapat juga golongan masyarakat yang tidak faham akan perlakuan mereka di mana akhirnya dengan sifat tidak mengambil tahu ini, golongan sindrom Asperger ini dipinggirkan dan dianggap sebagai pesakit mental di mata masyarakat. Tanggapan ini dianggap sangat sensitif bagi golongan ini kerana bagi mereka, mereka ingin dianggap seperti masyarakat yang lain (Grandin, 2006). Oleh itu, hal pelajar sindrom Asperger ini telah diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di mana pembelajaran pelajar ini diberi oleh guru yang terlatih sahaja. Pelajar sindrom ini mempunyai ciri-ciri seperti suka menyendiri dan biasanya tidak tahu apa yang mereka lakukan itu akan salah ataupun sebaliknya (Frith, 2003; Normaliza Abd Rahim, 2011a; 2011b; 2011c). Oleh itu, pelajar sindrom Asperger ini memerlukan perhatian daripada orang yang lebih dewasa untuk mengingatkan mereka akan perlakuan mereka. Biasanya pelajar sindrom Asperger akan berasa resah apabila disuruh duduk lama di satu tempat. Oleh itu, pembelajaran haruslah menarik dan melibatkan banyak penglibatan daripada pelajar ini. 

 Tulisan ini diambil dari buku terbaharu terbitan Penerbit UPM iaitu Jom Tulis Tesis oleh Normaliza Abd. Rahim. Untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh dapatkan buku ini dengan datang terus ke KEDAI BUKU PENERBIT UPM, kedai-kedai buku terpilih atau menerusi pembelian dalam talian (online) menerusi laman web http://www.upmpress.com.my 

 

Date of Input: 30/03/2020 | Updated: 01/04/2020 | lanjoy2006@g.mail.com

MEDIA SHARING

UPM Press
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698852
0397693623
C1591418398