Gaharu Komoditi Ketiga Negara | UPM Press
» NEWS » Gaharu Komoditi Ketiga Negara

Gaharu Komoditi Ketiga Negara

Karas (Aquilaria sp)

Apa Itu Gaharu?

Karas sinonim dengan pelbagai panggilan seperti gaharu, depu atau cendana (Malaysia dan Indonesia), Agarwood (Inggeris), Oudh Hindiee (Arab), Agaru (India), Oguru (Assam), wallapatta (Sri Lanka), Chen-xiang .. (China), Jin-koh (Japan), Chim-hyuang atau Kanam (Korean), Lignum aquila (Eaglewood), Aloeswood or Agilawood (Eropah), Pao d’aguila (Portugis), Bois d’aigle (Perancis), Adlerhoiz (Germany), Agallochon (Greece), tram huong (Vietnam), Mai kritsana ........ (Thailand), Ahalim (Hebrew), Ghara (Papua New Guinea), Kalambak (Kemboja) dan Mai ketsana (Laos). Pokok karas atau nama saintifiknya Aquilaria spp. yang menghasilkan gaharu adalah daripada keluarga Thymelaeceae. Terdapat 19 spesies Aquilaria yang dijumpai di seluruh dunia tetapi hanya lima spesies utama ditemui di Malaysia, iaitu Aquilaria malaccensis, Aquilaria hirta, Aquilaria beccariana, Aquilaria rostrata dan Aquilaria microcarpa. Gaharu telah digunakan sejak turun-temurun, malah ada yang menyatakan gaharu sudah digunakan sejak zaman dahulukala lagi untuk upacara keagamaan, perubatan tradisional dan menjadi bahan asas dalam pembuatan minyak wangi.

Karas dan Gaharu

Terdapat pelbagai mitos, teori dan cerita yang dikaitkan dengan penghasilan gaharu, namun gaharu sebenarnya terhasil daripada keluarga Thymelaeaceae manakala resin atau damar pula dihasilkan daripada keluarga seperti Araucariaceae (genus Conifer, Agatis, Ficus) dan Dipterocarpaceae. Pelbagai jenis pokok yang dikatakan boleh menghasilkan gaharu termasuklah seperti cendana kuning dan merah (Santalum album), gaharu air atau gaharu pantai (Wiskstroemia tenuriami), gaharu buaya atau ramin (Gonystylus sps), raja kayu atau damar minyak (Agathis borneensis), Podocarpus sp., dan Dipterocarp sp.. Menurut Whitmore (1970), terdapat dua sumber utama damar, iaitu Araucariaceae (genus Agatis) dan Dipterocarpaceae yang didagangkan di Manila pada 1926. Damar daripada genus Agatis dikenali sebagai Manila copal dengan pengeluaran dicatatkan sebanyak 18,000 ton manakala pengeluaran dunia pada 1936-1938 adalah sebanyak 43,396 ton. Pada 1957-1959, pengeluaran damar dunia telah jatuh sebanyak 65% kepada 19,830 ton berbanding tahun sebelumnya. Kegunaan utama Manila copal adalah untuk komponen varnish, untuk campuran minyak linseed dan untuk pembuatan linoleum.

Gaharu pertama dipercayai terhasil di Assam, India. Gaharu mula didagangkan oleh pedagang India yang bermula di Tamadun Awal Lembah Ganges yang diperoleh daripada kawasan tanah tinggi Assam. Adalah dipercayai bahawa gaharu telah digunakan sejak zaman Firaun (tahun 3000 SM) sebagai status bangsawan Mesir kuno. Pada zaman feudal Jepun pula, gaharu melambangkan kekayaan seseorang apabila gaharu dibakar di dalam upacara keagamaan mereka. Perdagangan gaharu di peringkat antarabangsa mula direkodkan seabad Selepas Masehi (SM) melalui catatan pada abad ke-3 SM yang menunjukkan China telah mengimport gaharu dari Semenanjung Malaysia. Selain itu, perdagangan gaharu juga direkodkan di Malaysia bermula pada era kedatangan Portugis ke Tanah Melayu melalui Pelabuhan Selat Melaka pada 1411.

Peribahasa “sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula” adalah pantun yang biasa didengar dan selalu digunakan di dalam masyarakat Melayu dan mempunyai maksud yang tersendiri. Ia adalah antara bukti penglibatan dan peranan gaharu dalam kehidupan seharian yang telah wujud sejak sekian lama dahulu dari pelbagai aspek dan kegunaan harian.

Gaharu merupakan hasil hutan bukan kayu yang serba guna dan mempunyai nilai komersial yang tinggi khususnya dalam kalangan pencari dan pengumpul gaharu. Manakala bagi masyarakat orang asli dan orang Penan Sarawak, ia adalah sebagai sumber mata pencarian. Tambahan pula habitat karas yang tumbuh meliar dan meluas di dalam hutan mudah ditemui dan diperoleh oleh orang asli. Mereka dibenarkan oleh kerajaan untuk menggunakan, mengambil, mengumpul dan menjual untuk kelangsungan hidup mereka. Kayu karas yang telah menghasilkan gaharu dipanggil ‘kayu buruk’ oleh sesetengah orang namun ia mempunyai nilai tinggi yang mencecah puluhan ribu ringgit sekilogram bagi kayu dari hutan.

 Industri gaharu menyasarkan pendapatan sebanyak RM35.0 juta bagi 2017 sepertimana unjuran permintaan dan dagangan yang positif bagi tahun sebelumnya. Status industri gaharu di Malaysia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara ASEAN yang lain seperti Kemboja, Thailand, Indonesia dan Singapura. Pada 2009, Malaysia telah merekodkan eksport kayu gaharu bernilai RM1.03 juta berbanding dengan Singapura bernilai RM4.0 bilion (USD1.2 bilion). Laporan yang dikeluarkan oleh MTIB melaporkan bahawa perdagangan gaharu terus meningkat saban tahun dengan nilai dagangan mencecah sebanyak RM 23. 32 juta pada 2013 (MTIB, 2014).

 Genus ini amat penting dari segi ekonomi berdasarkan dua sebab utama, iaitu pertama untuk kayu yang cantik, bernilai tinggi, dan kedua untuk resin berharga yang masih digunakan untuk pelbagai varnis dan laker. Kira-kira 20 spesies daripada genus ini bertaburan di Australia, New Zealand, Malaysia, Indonesia, Filipina, Polynesia, dan New Caledonia. Walaupun Agathis dianggap sebagai genus hemisfera selatan, kawasan taburannya melangkaui khatulistiwa di utara ke Malaysia dan Filipina. Ia ditemui pada ketinggian bermula dari paras laut sehingga 1,000 m ketinggian di New Caledonia dan sehingga 2,000 m ketinggian di Filipina. Pokok Agatis adalah malar hijau, tinggi, sangat beresin, daun berbentuk pisau bedah sehingga eliptik atau ovat, tebal dan keras. Kon buah akan matang pada tahun kedua dan sfera kedudukan secara bulat, benih secara bersayap satu atau dua.

 * Artikel ini diambil dari buku terbaharu terbitan Penerbit UPM iaitu GAHARU Komoditi Ketiga Negara. 

ISMAIL MUHAMMAD • MOHD ZIN JUSOH • AHMAD SAID SAJAP

ISBN: 978-967-344-747-6

2018

RM60.00

230 muka surat

Date of Input: 04/09/2018 | Updated: 12/09/2018 | lanjoy2006@g.mail.com

MEDIA SHARING

UPM Press
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698855
0397693623
SXDTKAO~