Ihsan Merekayasa Masyarakat | UPM Press
» ARTICLE » Ihsan Merekayasa Masyarakat

Ihsan Merekayasa Masyarakat

WACANA 8 | Ihsan Merekayasa Masyarakat

 

Seiring dengan fungsi universiti sebagai menara ilmu yang tidak memisahkan hubungannya dengan masyarakat luar, aktiviti tanggungjawab social korporat (CSR) adalah antara platform penting bagi warga UPM memperkukuh cakna kepada sesama masyarakat. Sumbangan disalurkan melalui pemindahan ilmu, kepakaran, dan khidmat masyarakat.

 

Dengan dasar tersebut, melalui pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat yang terkandung dalam elemen “Ihsan Tonggak Kecemerlangan”, universiti telah menggariskan program cakna masyarakat bergerak di bawah satu payung jenama, iaitu “PUTRA Bakti”. Pada 2016, UPM berjaya menggerakkan aktiviti kesukarelawanan melalui tujuh komponen seperti ilustrasi berikut:

 

 

Impak Kejayaan PUTRA Bakti

 

Projek Teratak Semai merupakan satu usaha murni UPM untuk membina rumah kediaman untuk komuniti orang asli suku kaum Semai di Tapah, Perak. Tujuan projek ini adalah untuk membina rumah baharu yang lebih kukuh dan selesa untuk menggantikan rumah mereka yang telah usang, memperkasakan komuniti orang asli di Tapah dengan teknik pembinaan rumah bina sendiri yang mudah, ekonomik dan memberikan peluang kepada pelajar seni bina UPM untuk melibatkan diri dalam projek kesukarelawanan serta melalui kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).

 

Projek sukarelawan ini diterajui oleh Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB). Sejak dari Januari 2015, UPM telah berjaya membina 10 unit rumah di Kampung Bt. 16, dan lapan unit rumah di Kampung Bt. 5 Jalan Pahang, Tapah, Perak. Di samping itu, satu unit rumah lagi menggunakan kaedah Industrialised Building System (IBS) juga telah dibina di kampung yang sama. Pembinaan rumah ini menggunakan konsep rumah bina sendiri (self build housing) yang melibatkan 70 sukarelawan pelajar dan alumni serta 10 orang staf UPM. UPM juga telah mereka bentuk prototaip rumah mampu milik bina sendiri (self-build affordable house) dengan menggunakan bahan simen, paip PVC, kayu, bumbung ‘metal deck’ dan dinding anyaman buluh atau daun bertam.

 

Hasil kejayaan Projek Teratak Semai dalam pembinaan sejumlah 17 unit rumah untuk komuniti Orang Asli di Tapah, Perak telah menarik minat lebih banyak organisasi dan syarikat untuk menyumbang kepada dana pembangunan untuk membolehkan lebih banyak rumah dibina untuk orang asli yang memerlukan rumah kediaman yang lebih selesa.

 

Usaha murni ini telah mendapat pengiktirafan negara apabila UPM diberi penghargaan dan

pengiktirafan cemerlang melalui Volunteer Malaysia Award (A Prime Minister’s Award) bagi kategori Best Volunteer Initiative – DrelM 2016.

 

 

IHSAN Tonggak Kecemerlangan akan terus menjadi kerangka utama gerak kerja kesukarelawanan warga UPM dalam mendukung semangat “Berilmu, Berbakti”. Sikap cakna warga UPM kepada masyarakat akan terus subur dalam mendepani cabaran sebagai universiti bereputasi antarabangsa. Peningkatan jumlah aktiviti PUTRA Bakti akan terus dipergiat pada tahun mendatang.

Updated:: 18/08/2017 [mnazrimy]

MEDIA SHARING

UPM Press
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389468855
0389416172
C1506422755